GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

LELAKI dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kerana memiliki 282.21 gram dadah jenis kanabis dan methamphetamine.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas M Karunanithi, 49, selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah itu di tepi jalan susur masuk Desa Green, Taman Desa, Brickfields, Kuala Lumpur, pada 3.15 petang, 10 Jun 2019.

Bagi pertuduhan memiliki 280.41 gram kanabis, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan manakala penjara dua tahun bagi kesalahan memiliki 1.80 gram methamphetamine dan hukuman itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 10 Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Bagi kesalahan memiliki methamphetamine pula, pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Kirubini berkata, kuantiti dadah yang ada pada tertuduh adalah banyak dan nilai pasarannya sangat tinggi dan itu memainkan peranan penting dalam menjatuhkan hukuman.

"Harga pasaran satu gram kanabis dianggar RM50. Kesalahan membabitkan dadah berbahaya adalah satu kesalahan yang serius, lebih-lebih lagi bila membabitkan kuantiti yang banyak.

"Kesalahan ini serius dan ia mewajarkan hukuman yang berat dan untuk menghalang tertuduh daripada melakukan kesalahan sama, di samping menjadi teladan dan pengajaran kepada orang ramai supaya menjauhi kesalahan serupa," katanya.

Peguam Ghazali Nik Taib yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana anak guamnya membuat pengakuan bersalah dan ia menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:04 PM