SUAMI isteri yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan selepas didapati positif dadah. FOTO IHSAN AADK
SUAMI isteri yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan selepas didapati positif dadah. FOTO IHSAN AADK
Nor Farhani Che Ad


PASANGAN suami isteri yang menagih dadah sejak enam tahun lalu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Yan, hari ini.

Suami isteri masing-masing berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi khas di rumah keluarga lelaki terbabit di Kampung Perupok, Bukit Besar, Yan, pada 9 pagi tadi.

Ketua AADK Daerah Yan Mohamad Ramli berkata, pasangan terbabit mempunyai dua anak berusia dua dan enam tahun namun ketika tangkapan dilakukan anak mereka tiada di rumah.

"Hasil soal siasat mendapati, mereka mendapatkan bekalan dadah di kawasan nelayan di sempadan Yan dan Kota Setar.

"Saringan awal ujian air kencing mendapati masing-masing positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, dalam operasi yang diadakan pihaknya turut menahan enam lelaki berusia 16 hingga 52 tahun yang gagal hadir jamin di sekitar daerah itu.

Beliau berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:19 PM