Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


"ITU bukan zoo. Itu Dewan Rakyat kita," kata Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang media pertama selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10, hari ini.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata demikian ketika ditanya sama ada menyesal menerima jawatan Speaker dewan dan terpaksa melihat pelbagai kelakuan Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung.

"Ini satu pengalaman yang baik. Kita belajar daripada pengalaman itu," katanya selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula hari ini.

Sehubungan itu, katanya, semua Ahli Parlimen perlu menggunakan bahasa yang sopan santun di dalam dewan.

"Sejauh mana boleh mengawal Dewan Rakyat? Kita akan cuba sedaya-upaya. Itu tugas semua Ahli Parlimen termasuk Speaker dan Timbalan Speaker.

"Jika mereka (Ahli Parlimen) mahu rakyat melihat perangai mereka sebegitu, rakyat mengadili mereka. Namun kita semua menentang penghinaan jantina," katanya.

Terdahulu, kontroversi panas berlaku dalam persidangan apabila P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) melenting selepas tidak puas hati dengan perkataan 'gelap' diluahkan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahim (BN-Baling) terhadapnya.

Kasthuriraani juga bengang diminta pakai bedak oleh Abdul Azeez dan menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan.

Susulan kekecohan itu juga, persidangan Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan jam 3.30 petang, lebih awal daripada kebiasaan.

Sementara itu, Azhar anak jati Kedah yang lebih dikenali dengan panggilan Art Harun menjelaskan kepada media bahawa dia tidak pernah dipaksa ketika kerajaan mencalonkan namanya untuk jawatan Speaker.

"Saya dijemput oleh pihak kerajaan untuk menjadi calon Speaker. Ia adalah penghormatan kepada saya dan keluarga.

"Tiada desakan semasa saya dipelawa. Pelawaan itu berlaku sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini," katanya.

Beliau juga menjelaskan tidak bertindak kontroversi dalam menunaikan tanggungjawab kerjanya sebagai Speaker, selain akan meneruskan proses reformasi Parlimen atau memperbaikinya untuk menjadi lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:49 PM