Mohd Amin Jalil


LIMA rumah yang didiami 17 ahli keluarga di Kampung Sega Hilir, Rantau, dekat Seremban terputus hubungan selepas laluan utama memasuki kawasan penempatan mereka ditenggelami air sedalam kira-kira 1.5 meter dalam kejadian banjir, hari ini.

Ketua Balai Polis Kuala Sawah Sarjan Mejar Abdul Aziz Maulud berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi selepas air mula naik dan melimpah di kawasan penempatan mereka susulan hujan lebat berpanjangan bermula seawal jam 5 pagi.

Katanya, kerja menyelamat bagi membawa mangsa keluar dari kawasan terjejas dilakukan dengan kerjasama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

"Berikutan keadaan air yang naik begitu pantas dengan kedalaman lebih satu meter terutama di kawasan kediaman, kerja menyelamat terhadap 17 ahli keluarga itu membabitkan kanak-kanak, individu dewasa dan warga usia emas segera dilakukan.

"Operasi dilakukan menggunakan tali dan berjalan lancar dengan kesemua mereka dapat diselamatkan dan kini ditempatkan di rumah saudara atau kenalan masing-masing.

"Bagaimanapun kita sudah membuat persiapan untuk mewujudkan pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sega jika keadaan memerlukan," katanya ketika ditemui di lokasi banjir, hari ini.

Abdul Aziz berkata, ini kali kedua banjir besar menimpa kampung berkenaan dalam tempoh 13 tahun selepas kali terakhir pada 2007.

Menurutnya, bencana kali ini juga membabitkan kira-kira 200 rumah di Kampung Sega Hilir, Kampung Sega Tengah dan Kampung Sega Hulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:05 PM
ANGGOTA bomba dan penyelamat memasang tali keselamatan untuk operasi menyelamat di Kampung Sega Hilir, Rantau. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
ANGGOTA bomba dan penyelamat memasang tali keselamatan untuk operasi menyelamat di Kampung Sega Hilir, Rantau. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN