PENDAYUNG dengan ukiran motif tradisional Sarawak yang dihadiahkan kepada Rajah Muda Anthony Brooke diperbuat dari kayu belian akan dipamer kepada orang ramai di Muzium Brooke. FOTO Nadim Bokhari
PENDAYUNG dengan ukiran motif tradisional Sarawak yang dihadiahkan kepada Rajah Muda Anthony Brooke diperbuat dari kayu belian akan dipamer kepada orang ramai di Muzium Brooke. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

PENDAYUNG dengan ukiran motif tradisional Sarawak berusia lebih 120 tahun menjadi tarikan terbaharu Muzium Brooke di Fort Margherita, Kuching, Sarawak.

Pendayung diperbuat daripada kayu belian, sejenis kayu keras yang hanya terdapat di Borneo itu dihadiahkan kepada Rajah Muda Anthony Brooke pada awal abad ke-20.

Ukiran menarik itu kemudiannya dibawa ke Britain hampir 100 tahun lalu, namun kini ia kembali semula ke negeri asalnya, Sarawak.

Pengurus Muzium Brooke, Liza Sideni berkata, pendayung hiasan itu dipersembahkan kepada Rajah Muda Anthony Brooke oleh seorang pemimpin pribumi pada 1920-an.

"Ia dibuat dari kayu belian, tetapi sangat sedikit perincian mengenainya dan penyelidikan masih dilakukan," katanya.

Liza berkata, pendayung itu antara koleksi simpanan sebuah badan amal Britain yang diasaskan keluarga Brooke yang pernah memerintah Sarawak.

Pendayung itu akan dipamerkan di bahagian galeri yang menceritakan kisah Regatta Sarawak atau perlumbaan perahu yang terkenal di negeri ini sejak zaman pemerintahan Brooke.

"Charles Brooke, Rajah Putih kedua, memulakan Regata Sarawak pada 1872 sebagai medium untuk meredakan konflik antara pribumi di Sarawak.

"Kami berharap dengan mempamerkan objek baharu ini, lebih ramai yang akan datang untuk melihat dan menghargai sejarah negeri ini," katanya.

Katanya lagi, tahun ini juga Fort Margherita menyambut ulang tahun ke-140, menjadikannya antara bangunan tertua di Sarawak.

Orang ramai berpeluang melihat artifak menarik itu kerana ia kini dipamerkan di Muzium Brooke yang dibuka semula kepada pengunjung mulai hari ini, selepas empat bulan ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:25 PM