SALIRAN air di enam kampung di Kuala Nerangyang tidak berfungsi yang menyebabkan tanaman padi lebih 100 pesawah tidak menjadi. FOTO Ihsan CAP
SALIRAN air di enam kampung di Kuala Nerangyang tidak berfungsi yang menyebabkan tanaman padi lebih 100 pesawah tidak menjadi. FOTO Ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkaitan supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah membabitkan lebih 100 pesawah di enam kampung di Kuala Nerang, Kedah.

Pesawah dilapor bukan sahaja tidak mendapat bekalan air malah sawah seluas 200 hektar yang diusahakan mereka juga tidak mempunyai saliran air sempurna.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati pesawah terbabit hanya mengharapkan air hujan bagi mengairi tanaman mereka.

Katanya, CAP bimbang jika keadaan itu tidak ditangani segera, sumber pendapatan mereka terus terjejas.

"CAP menggesa Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sekiranya tidak diselesaikan masalah ini boleh menggugat bekalan makanan serta masa depan sektor pertanian negara," katanya kepada NSTP, hari ini.

Kawasan terbabit ialah Kampung Padang Gelanggang, Kampung Pokka, Kampung Lubuk Keriang, Kampung Lubuk Labi, Kampung Tanjung dan Kampung Tanah Merah.

Sementara itu, petani yang juga Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Nerang, Azmi Yaakob, 65, berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila musim kemarau dan banjir kilat.

Katanya, mereka turut dibelenggu masalah ancaman makhluk perosak seperti tikus, siput gondang, rumput sambau dan padi angin.

"Disebabkan itu, hasil padi merosot antara 30 hingga 95 peratus setiap musim. Adakalanya kami (pesawah) tidak mendapat sebarang hasil," katanya.

Katanya, pesawah mencadangkan supaya saliran air baru yang sistematik dan rumah pam dibina di Padang Siring sebelum air disalurkan ke kawasan sawah dari Empangan Ahning melalui Sungai Padang Terap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:16 PM