X
Hamdan (kanan) meninjau kawasan yang mengalami banjir kilat di Kampung Bemban, Mambau dekat Seremban. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Hamdan (kanan) meninjau kawasan yang mengalami banjir kilat di Kampung Bemban, Mambau dekat Seremban. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


"INI banjir kali kelima dalam tempoh tiga tahun dan paling teruk kerana air naik setinggi satu meter ke dalam rumah," kata pesara kerajaan, Zulkifli Yasin, 62, dari Kampung Bemban, Mambau dekat Seremban.

Menurutnya, air mula melimpah naik ke kawasan kediaman pada 6 pagi hari ini susulan hujan pada 4.30 pagi.

"Setiap kali hujan, ahli keluarga saya mula tidak senang duduk kerana bimbang. Ia berikutan sejak beberapa tahun lalu banjir akan berlaku setiap kali selepas hujan.

"Bulan lalu juga kawasan ini turut dinaiki air tetapi tidak seteruk kali ini. Apa yang membimbangkan ialah air naik terlalu cepat kerana kawasan ini berada berhampiran dengan sungai," katanya.

Bagaimanapun, mereka membuat persiapan awal dengan meletakkan barangan berharga dan penting di tempat yang tinggi dan selamat.

"Saya juga cepat melaporkan kepada Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) yang turut membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Seorang lagi mangsa banjir, Nur Zakariah Abd Rahim, 22, mengakui dia dan keluarga panik selepas rumah mereka ditenggelami air dalam banjir kilat pagi hari ini.

"Kejadian berlaku ketika saya bersama enam ahli keluarganya sedang tidur di rumah. Kami hanya menyedari selepas air mula memasuki ruangan dapur.

"Saya sedar waktu itu air dah masuk sampai ke dapur dan kemudian ke ruang tamu. Perasaan sedih memang ada sebab tak sempat nak selamatkan barang-barang yang penting sebab kejadian berlaku terlalu pantas," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Hamdan Ali berkata, seramai 20 anggota jabatan itu digerakkan di Kampung Bemban dan Wilayah Sega selepas menerima laporan banjir kilat.

Beliau berkata, kejadian banjir di Kampung Bemban membabitkan tiga kediaman dengan jumlah 20 ahli keluarga termasuk orang kurang upaya (OKU) yang terjejas teruk.

"Operasi membawa mereka keluar dari kawasan terjejas dilakukan dengan cepat dengan menempatkan mereka di Majis Jamek Kampung Bemban sebagai penempatan sementara.

"Secara keseluruhan terdapat 38 daripada 60 kediaman di Kampung Bemban yang terkesan dengan banjir hari ini namun hanya tiga rumah yang terjejas dari segi keselamatan, manakala selebihnya tidak memerlukan mereka untuk pindah," katanya.

Pengerusi MPKK Kampung Bemban Zainal Abidin Abdul Wahid, 52, pula berkata, kampung itu kerap dilanda banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun usaha membersihkan sungai di kawasan itu sudah dilakukan.

"Walaupun usaha pembersihan sungai sudah dibuat tetapi tidak mampu menampung air yang banyak setiap kali hujan luar biasa.

"Masalah pembangunan atau projek hartanah di kawasan berhampiran dikenal pasti menjadi penyumbang kepada banjir di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:46 PM