TABUNG masjid yang dipecah masuk seorang lelaki di Masjid Jamek Madinatul Ilmi Kuala Ketil. FOTO ihsan Polis
TABUNG masjid yang dipecah masuk seorang lelaki di Masjid Jamek Madinatul Ilmi Kuala Ketil. FOTO ihsan Polis
Safuri Kamarudin


POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencuri mencuri wang tabung di Masjid Jamek Madinatul Ilmi Kuala Ketil, di Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kehilangan wang itu disedari penduduk jam 9.30 malam selepas mendapati kunci mangga tabung masjid dipotong.

Katanya, lelaki terbabit kemudian menghubungi pegawai keselamatan masjid sebelum mereka memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang suspek memecahkan tabung itu jam 6.35 petang.

Syed Basri berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek datang ke masjid berkenaan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru.

Katanya, pemerhatian melalui rakaman CCTV itu juga mendapati suspek memasuki ruangan solat lelaki dengan membawa dua beg.

"Suspek memotong mangga tabung itu menggunakan cutter sebelum mencuri wang di dalamnya. Jumlah wang yang hilang tidak dapat ditentukan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:56 PM