X
ICQS Bukit Kayu Hitam. Foto NSTP
ICQS Bukit Kayu Hitam. Foto NSTP
Noorazura Abdul Rahman


THAILAND bersedia memperkukuhkan aktiviti perdagangan bersama Malaysia dengan meningkatkan kemudahan logistik dan rentas sempadan yang lebih baik di sempadan kedua-dua negara.

Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasithorn berkata, potensi itu dilihat terbuka luas apabila kerajaan kedua-dua negara memainkan peranan untuk memudahkan perdagangan dua hala.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah dengan menyediakan persekitaran dan jalan yang lebih baik dahulu bagi memudahkan komuniti kedua negara menjalankan perniagaan.

"Kedah memiliki Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bertaraf antarabangsa, Thailand juga sedang membina CIQ baharu di Sadoa, Thailand yang bakal siap beberapa bulan lagi," katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Mengulas lanjut, Narong berkata, dengan kemudahan yang dinaik taraf antara kedua-dua pintu sempadan, pihaknya yakin kenderaan perdagangan tidak lagi memerlukan masa lama untuk melepasi pemeriksaan.

Menurutnya, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di sempadan kedua-dua negara menyelaraskan peraturan bagi menjimatkan waktu pemeriksaan.

"Kita belum ada perbincangan mengenainya tetapi memerlukan mekanisme pemeriksaan secara tunggal untuk dilaksanakan contohnya selepas kenderaan perdagangan diperiksa di Sadoa, maka ia boleh terus ke Bukit Kayu Hitam dan seterusnya ke Pulau Pinang.

"Begitu juga apabila kenderaan perdagangan sudah diperiksa di ICQS Bukit Kayu Hitam, ia boleh terus masuk ke Thailand tanpa pemeriksaan di tempat lain.

"Pegawai penguat kuasa kedua-dua negara akan ditempatkan di kedua-dua tempat, bagaimanapun kedua-dua negara perlu mempersetujui perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 8:06 PM