X
Muhammad Nur Zharfan Rusidi (kanan) memapah datuknya Wahab Rashid (tengah) dibantu ibu saudaranya Salmi Wahab (kiri) keluar dari kawasan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Bemban, Mambau dekat Seremban. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Muhammad Nur Zharfan Rusidi (kanan) memapah datuknya Wahab Rashid (tengah) dibantu ibu saudaranya Salmi Wahab (kiri) keluar dari kawasan rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Bemban, Mambau dekat Seremban. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

TIGA ratus lapan orang daripada 72 keluarga terjejas disebabkan kilat melanda lima kampung di tiga daerah hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan dalam kenyataannya hari ini berkata, tiga daerah terbabit adalah Port Dickson, Rembau dan Seremban.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 199 mangsa daripada 44 keluarga yang terjejas ialah di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

"Selain itu, Kampung Bemban Mambau, membabitkan 75 mangsa daripada 20 keluarga turut terjejas, Kampung Sega Hilir (20 mangsa daripada empat keluarga) dan Kampung Sega Hulu di Rembau (13 mangsa daripada tiga keluarga) dan seorang mangsa di Kampung Janging, Chuah di Port Dickson.

"Tujuh keluarga iaitu seramai 48 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah manakala bagi mangsa banjir yang lain, mereka berpindah ke rumah keluarga terdekat.

"Banjir di Kampung Jimah Lama adalah disebabkan paras air sungai yang melebihi benteng berikutan hujan lebat," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejadian banjir kilat di Kampung Sega Hulu dan Kampung Sega Hilir, adalah disebabkan limpahan Sungai Simen manakala di Kampung Bemban pula disebabkan limpahan air Sungai Linggi.

"Seramai 20 mangsa dari Kampung Sega Hilir kini ditempatkan di PPS di SK Sega Hilir.

"Banjir di Kampung Janging disebabkan oleh sistem perparitan yang kurang sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 9:31 PM