X
Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang pengusaha inap desa kerana memberi wang rasuah kepada pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM hari ini, suspek yang juga seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan pada 4 petang di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek memberi rasuah kepada pembantu penguat kuasa sebanyak RM3,000 sebagai dorongan untuk membatalkan tiga kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan MPK dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

"Ia juga sebagai dorongan supaya MPK tidak mengganggu premis perniagaan suspek pada masa hadapan.

"Kesalahan yang dilakukan oleh suspek iaitu mempamerkan iklan tanpa lesen dan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran MPK serta menjadikan tanah pertanian selain daripada maksud asal (homestay/chalet) dengan jumlah keseluruhan kompaun bagi ketiga-tiga kompaun berkenaan berjumlah RM2,500," kata kenyataan berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 10:39 PM