Anggota APM memantau kawasan terjejas banjir di Muar hari ini. Foto Ihsan APM
Anggota APM memantau kawasan terjejas banjir di Muar hari ini. Foto Ihsan APM
Mohamed Farid Noh

JUMLAH mangsa banjir di Johor meningkat kepada 707 orang hingga 9 malam tadi selepas tiga daerah terjejas.

Pada 4 petang hari ini, hanya 227 mangsa di Muar dan Tangkak yang terpaksa dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, Pontian adalah daerah terbaharu terjejas banjir berikutan hujan lebat sejak awal pagi hingga petang.

Menurutnya, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada malam berbanding hanya tiga ketika petang.

"Muar adalah daerah paling terjejas apabila enam PPS dibuka dengan mangsa banjir melonjak kepada 440 orang daripada 102 keluarga.

"PPS di Tangkak pula bertambah dua kepada tiga buah dengan seramai 224 mangsa daripada 50 keluarga dipindahkan.

"Pontian pula membuka sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dengan 43 mangsa daripada 12 keluarga, " katanya dalam kenyataannya di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) diarah bersedia sepanjang masa berikutan keadaan cuaca yang mendung di samping keadaan air laut pasang.

"Jika hujan lebat bertembung dengan air laut pasang, dibimbangi kawasan rendah dinaiki air.

"Bagaimanapun, APM sudah diarah sentiasa berjaga-jaga memindahkan penduduk terjejas segera sekiranya banjir malah difahamkan beberapa PPS lagi akan dibuka di Muar dan Pontian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:02 PM