Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Zaid Salim

"SAYA sangka dia tidur dan kemudiannya saya balik bersendirian sehinggalah mendapat berita dia meninggal dunia petang ini," kata Mohd Sahid Said, 52, rakan Ahmad Saufie Mohamed, 34, yang ditemui meninggal dunia dalam bot dipercayai ketika sedang mencandat sotong di perairan Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu hari ini.

Menurutnya, dia bersama rakannya itu keluar mencandat sotong dengan bot masing-masing di kira-kira enam batu nautika dari Pantai Batu Burok pada 5 petang semalam.

Katanya, mereka melabuhkan bot pada jarak 10 meter antara satu sama lain dan arwah kelihatan seperti biasa sebelum mereka meneruskan aktiviti candat.

"Arwah yang sudah lama menjadi nelayan dan sangat dikenali dalam kalangan peniaga ikan dan sotong di pasar sekitar bandar raya ini serta terkenal dengan kepakarannya mencari lubok sotong.

"Sudah lama kami ke laut bersama dan sangat memahami sikap dan perangai arwah.

"Ketika mahu balik pada 4 pagi, saya sangka arwah tidur kerana keadaan sama sudah beberapa kali berlaku sebelum ini," katanya ketika ditemui di Pantai Batu Burok.

Menurutnya, kebiasaan mereka akan balik ke darat pada 5 atau 6 pagi tetapi disebabkan keadaan cuaca tidak elok dan hujan berterusan serta berangin bermula 1 pagi menyebabkannya mengambil keputusan untuk balik awal.

Sementara itu, adik arwah, Ahmad Sabri, 30, berkata, dia yang turut berada di laut dihubungi seorang lagi abangnya memintanya mencari bot Ahmad Saufie yang tidak pulang pada 5 petang.

"Ketika itu, bot saya berada tidak jauh daripada bot arwah dan sejurus menerima panggilan telefon, saya segera merapatinya dan melihat arwah masih berselimut.

"Saya cuba kejutkannya beberapa kali tetapi dia diam sebelum menarik selimut dan mendapati arwah sudah tiada.

"Saya kemudian menunda bot arwah hingga ke pantai," katanya ketika ditemui di pantai berkenaan.

Menurutnya, abangnya itu sudah berkeluarga dan mempunyai empat anak serta menjadi nelayan sejak berusia 14 tahun.

Katanya, abangnya juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tangan kirinya tidak berfungsi.

Berita berkaitan

OKU ditemui mati dalam bot [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:20 PM