X
SINGAPURA. FOTO fail AFP
SINGAPURA. FOTO fail AFP
Hazri A Bakar


LELAKI Malaysia antara 12 rakyat asing yang diusir keluar dan diharamkan memasuki Singapura selepas tidak mematuhi penjarakan sosial ketika langkah pemutus rantaian atau circuit breaker dikuatkuasakan di negara itu.

Circuit breaker adalah penguatkuasan penutupan pelbagai aktiviti sebagaimana dilaksanakan di Malaysia melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia dimaklumkan menerusi kenyataan media Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura.

Menurut kenyataan itu, lelaki berusia 23 tahun itu yang berada di Singapura menggunakan permit kerja telah mengajak seorang rakan ke tempat tinggalnya.

Dia kemudian menghantar pulang tetamunya menggunakan motosikal pada 18 April lalu.

"Mereka bagaimanapun ditahan di satu sekatan jalan raya di Yishun Avenue 6 dan lelaki itu didakwa atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 67(1)(b), Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

"Dia juga melanggar sekatan dengan meninggalkan tempat tinggalnya dan larangan untuk mengadakan perhimpunan sosial mengikut Peraturan 4(2) dan 6, Langkah-Langkah Sementara, Peraturan Perintah Kawalan 2020," kata kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa Singapura, semalam.

Menurut kenyataan itu, lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan dikenakan denda S$4,000 (RM12,267).

Selain itu, permit kerjanya dibatalkan serta dia diusir pada 5 Jun lalu selain diharamkan dari memasuki semula Singapura.

Rakannya, juga seorang rakyat Malaysia dikenakan notis pematuhan arahan kerana melanggar sekatan dengan meninggalkan kediaman dan hanya diberi amaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:05 AM