X
LELAKI yang melacurkan anaknya (Baju kelabu) bersama pelanggan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk permohonan reman. FOTO NSTP
LELAKI yang melacurkan anaknya (Baju kelabu) bersama pelanggan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk permohonan reman. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BAPA yang menjadikan anaknya yang berusia 13 tahun sebagai pemuas nafsu dan melacurkannya ditahan polis di Pandan Indah, Ampang, malam tadi.

Sumber berkata, turut ditahan lima lelaki termasuk beberapa warga asing di sekitar Batu 9, Cheras.

"Tangkapan dilakukan susulan maklumat dan risikan yang dibuat sepasukan polis.

"Semua suspek kini dibawa ke Kompleks Mahkamah Kajang untuk permohonan reman," katanya.

Katanya, siasatan akan diteruskan selepas menerima permohonan reman daripada Majistret.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan bukan sekadar menjadi bahan pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Sebaliknya, remaja itu turut dilacurkan oleh lelaki yang seharusnya menjadi pelindung baginya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas seorang wanita dipercayai ibu saudara mangsa membuat laporan pada 3.08 petang Sabtu.

"Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa mula menjadi tempat melampiaskan nafsu bapa sendiri sejak usianya 10 tahun.

"Bermula pertengahan 2019 hingga Februari 2020, mangsa telah dipaksa oleh suspek untuk melayan seks lebih (20) orang pelanggan yang dibawa oleh suspek," katanya.

Berita berkaitan

Dilacur bapa RM100

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 11:21 AM