X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazri A Bakar


PADAH melindungi warga asing dan melanggar syarat berkaitan undang-undang imigresen, enam lelaki tempatan bukan sahaja dijatuhi hukuman penjara 36 bulan malah turut dikenakan denda membabitkan jumlah RM2.4 juta selain sebatan.

Hukuman berkenaan dijatuhi ke atas enam warga tempatan yang didakwa dengan dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin, Pekan Nenas, Zahilah Mohammad Yusoff, petang semalam.

Enam tertuduh adalah H Kartigesu, 32; Mohd Farid Rashidi, 33; Tan Tong Yan, 62; Hoo Woon Cheng, 47; Clement Edward, 31 dan Koh Liang Wui, 48.

Setiap seorang tertuduh dikenakan hukuman denda RM400,000 selain 20 bulan penjara dan sekali sebatan.

Tertuduh ketiga, Tan Tong Yan, yang berusia 62 tahun bagaimanapun terlepas hukuman sebatan akibat faktor usia melebihi 55 tahun.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, kesemua enam tertuduh didakwa dengan niat bersama melindungi 15 wanita warga Vietnam yang diketahui mempunyai sebab bahawa 15 wanita itu bertindak berlawanan dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis, B2B Cafe di Taman Mas Indah, Muar kira-kira jam 11.30 malam pada 28 November 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 56(1)(bb), akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Zahilah Mohammad Yusoff mensabitkan kesalahan terhadap kesemua tertuduh dan diperintah membayar denda RM300,000 setiap seorang selain dipenjara 20 bulan dan satu sebatan bermula dari disabitkan.

Hakim turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 45 bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, keenam-enam tertuduh didakwa secara bersama pada 28 November 2018 kira-kira jam 11.30 malam, di asrama pekerja di No 4-1, 6-1 dan 8-1 Jalan Indah Murni 2, Taman Mas Indah, Muar melindungi empat wanita warga Vietnam yang diketahui mempunyai sebab munasabah kesemua empat wanita itu bertindak berlawanan dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

Kesalahan bagi pertuduhan kedua ini didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d), Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap kesemua tertuduh dan memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM100,000 setiap seorang dan jika gagal membayar, dikenakan hukuman penjara 16 bulan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan dibantu pegawai pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia di Johor.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam, Abdul Hakeem Aiman.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam tertuduh bagi menangguhkan perlaksaan hukuman penjara dan sebatan dengan menetapkan jaminan tambahan sebanyak RM10,000 ke atas setiap tertuduh dan dikehendaki melapor diri ke balai polis berdekatan sehingga selesai rayuan kes di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 12:17 PM