X
Mayat Hafizan Mohamad Noor yang maut dalam kemalangan di Kilometer 41, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS
Mayat Hafizan Mohamad Noor yang maut dalam kemalangan di Kilometer 41, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


PEKERJA kedai perkakas maut digilis treler di Kilometer 41, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan, Tanjong Karang, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa, Muhamad Hafizan Mohamad Noor, 26, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Kapar menghala pulang ke rumahnya di Tanjong Karang.

"Tiba di lokasi, terdapat sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran berhenti mengejut di hadapan motosikal mangsa untuk masuk ke simpang Taman Serindit di sebelah kanan jalan.

"Mangsa kemudian mengelak ke kiri dan hilang kawalan lalu tercampak ke atas jalan di lorong kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pada masa sama sebuah treler yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran datang dari arah sama dan menggilis mangsa.

Katanya, treler terbabit tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ramli berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu lori dan pemandu kereta terbabit.

Menurutnya, saksi yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 12:55 PM