X
Mahaizura Abd Malik


HADIAH keseluruhan bernilai RM1 juta menanti pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 yang menawarkan dua kategori cabutan sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata, tempoh promosi cabutan berkenaan berlangsung sejak 1 Julai lalu bagi cabutan bulanan manakala cabutan tahunan pula bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.

Katanya, seramai 1,123 pendeposit berpeluang memenangi hadiah ditawarkan.

"Istimewanya tahun ini, pemenang hadiah utama cabutan tahunan akan menerima Mercedes Benz C200 FL AMG Line.

"Sementara, hadiah bagi cabutan bulanan pula bakal menerima wang tunai," katanya pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di Menara PTPTN, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Selain itu katanya, PTPTN turut menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000 kepada pendeposit menerusi promosi 'Jom Simpan SSPN-i' mulai 1 Julai hingga 31 Oktober ini.

"Selain itu, promosi 'Jom Buka Akaun SSPN' bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini pula menawarkan hadiah 150 unit Huawei Mediapad.

"Cabutan hadiah ini sebahagian daripada menggalakkan penabungan pendidikan dalam kalangan masyarakat negara ini selain satu penghargaan kepada pendeposit setia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mensasarkan RM1.5 bilion jumlah deposit SSPN tahun ini berbanding RM1.3 bilion tahun lalu.

Menurutnya, sejak SSPN dilancarkan pada 2004 hingga Mei lalu, jumlah keseluruhan deposit terkumpul SSPN mencecah RM6.4 bilion membabitkan 4.5 juta akaun pendeposit dibuka.

"Selain itu, jumlah deposit SSPN bagi tempoh Januari hingga Mei lalu meningkat 48.4 peratus dengan RM564.20 juta berbanding RM380.18 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

"Saya yakin, antara faktor peningkatan penabungan dalam SSPN ini kerana keyakinan rakyat terhadap SSPN serta manfaat diterima.

"Ia sekali gus menjadikan skim ini sebagai satu pilihan terbaik walaupun kita berada dalam situasi pandemik selain kesedaran masyarakat menyediakan simpanan untuk masa hadapan," katanya.

WAN Saiful kiri) bersama Ahmad Dasuki melancarkan Cabutan WOW! SSPN - I Plus 2020 di Menara PTPTN KL. FOTO Rohanis Shukri.
WAN Saiful kiri) bersama Ahmad Dasuki melancarkan Cabutan WOW! SSPN - I Plus 2020 di Menara PTPTN KL. FOTO Rohanis Shukri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 1:15 PM