GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Farhani Che Ad


SEORANG penganggur ditahan selepas dipercayai cuba mencederakan ibunya yang lumpuh menggunakan pisau di Kampung Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu, di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek berusia 30 tahun dikatakan bertengkar dengan abangnya berusia 36 tahun selepas dia dikatakan mengambil dompet abangnya tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki terbabit bertindak mengacukan pisau kepada ibunya kerana tidak mahu dimarahi abangnya itu.

"Suspek juga dilapor menumbuk badan abangnya beberapa kali namun mangsa tidak mengalami kecederaan.

"Dia (suspek) yang gagal mengawal kemarahan kemudian mengambil pisau dan meletakkan di leher ibunya berusia 60 tahun ketika wanita terbabit berada di ruang tamu rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, abang suspek segera menelefon polis dan ketika pihaknya sampai penganggur terbabit sudah melarikan diri.

Katanya, suspek berjaya ditahan di rumah berkenaan beberapa minit kemudian apabila dia kembali ke rumah.

Menurutnya, suspek tinggal bersama abang serta keluarga abangnya dan ibu mereka di rumah berkenaan.

"Suspek dikatakan seorang penagih dadah dan sebelum ini sering mengamuk dan mengganggu orang kampung.

"Dia direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 17 Julai untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:21 PM