X
MPM menggunakan pendekatan menukar barang terpakai dengan barang keperluan harian bagi menggalakkan penduduk sekitar Manjung mengamalkan budaya kitar semula melalui Program Pertukaran Barangan Kitar Semula. FOTO IHSAN MPM
MPM menggunakan pendekatan menukar barang terpakai dengan barang keperluan harian bagi menggalakkan penduduk sekitar Manjung mengamalkan budaya kitar semula melalui Program Pertukaran Barangan Kitar Semula. FOTO IHSAN MPM
Noor Hidayah Tanzizi


MAJLIS Perbandaran Manjung (MPM) menggunakan pendekatan menukar barang terpakai dengan barang keperluan harian bagi menggalakkan penduduk sekitar Manjung mengamalkan budaya kitar semula melalui Program Pertukaran Barangan Kitar Semula.

Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, inisiatif itu dilakukan setiap Sabtu pada minggu pertama bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari di pejabat MPM dan beberapa lokasi lain sekitar Manjung.

Menurutnya, pihaknya menerima besi, plastik, botol, kaca, kertas dan fabrik untuk ditukar dengan barangan keperluan harian seperti bihun, tepung, sabun buku dan serbuk pencuci.

"Kami menilaikan barang dengan harga tertentu contohnya lima sen untuk sekilogram kertas dan penduduk boleh memilih barangan yang diinginkan mengikut berat barang yang dibawa.

"Bagaimanapun, kami tidak berkira dan tetap bagi barang pertukaran walaupun berat barang kitar semula yang dibawa tidak menyamai nilai pertukaran.

"Pertukaran minimum juga akan terima barang seperti tepung atau sabun tetapi setiap barangan kitar semula yang dibawa mestilah diasingkan mengikut jenis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamsul Hazeman berkata, usaha yang dijalankan sejak empat tahun lalu itu bertujuan untuk mendedahkan orang ramai mengenai kepentingan kitar semula.

"Masyarakat kita masih kurang terdedah dengan kepentingan kitar semula. Barang yang boleh dikitar semula dapat membantu mengurangkan sampah di tapak pelupusan.

"Selain untuk mendidik, inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk setempat yang memerlukan dan mereka hanya perlu menyertai usaha ini," katanya.

Katanya, sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dan semua barangan kitar semula yang dikumpul itu akan dihantar ke pusat pengumpulan untuk proses selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:37 PM