X
SEBAHAGIAN ikan air tawar yang ditemui mati di Sungai Sembrong di Kahang selepas dilaporkan tercemar awal pagi semalam. FOTO Adnan Ibrahim
SEBAHAGIAN ikan air tawar yang ditemui mati di Sungai Sembrong di Kahang selepas dilaporkan tercemar awal pagi semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor akan melakukan pemantauan menyeluruh terhadap kadar kebersihan Sungai Sembrong serta sungai-sungai rangkaiannya bagi mengenal pasti punca pencemaran yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, hasil ujian terhadap air di sepanjang sungai berkenaan menunjukkan ia sedikit berasid iaitu 5.5ph.

Katanya, bagaimanapun, ia mungkin bukan penyebab utama kematian ikan dan udang galah di sungai itu.

"Hasil siasatan oleh JAS tidak boleh diputuskan dalam tempoh sehari. Kita perlukan sedikit masa untuk mendapatkan hasilnya.

"Selain siasatan serta pemantauan, kami akan mengadakan beberapa sesi dialog bersama pengusaha industri dan ladang yang menjalankan aktiviti perusahaan serta perladangan di sepanjang persisiran sungai ini.

"Melalui dialog ini, semua pihak berkaitan akan ditekankan cara pelepasan sisa ke sungai serta aktiviti meracun dalam kawasan ladang bagi memastikan tiada lagi pencemaran pada masa depan," katanya.

Vidyananthan berkata demikian selepas membuat tinjauan dengan menyusuri Sungai Sembrong sejauh kira-kira lima kilometer dari Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Dr Famey Yusoff, Ketua Cawangan Jabatan Perikanan Daerah Kluang Zaki Ali dan wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kluang Fadhil Khosnan.

Menurut Vidyananthan, dua pencemaran yang berlaku dalam tempoh 45 hari menyebabkan kerugian besar kepada penduduk Orang Asli di pekan Kahang yang bergantung harap kepada sumber sungai sebagai mata pencarian.

Terdahulu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok Halim Jahari berkata, pencemaran di Sungai Sembrong disedari berlaku awal pagi semalam.

Katanya, air sungai kelihatan berminyak seperti yang berlaku pada awal Jun lalu.

Halim berharap masalah terbabit segera berakhir kerana ramai penduduk Orang Asli bergantung kepada hasil sungai sebagai punca pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:50 PM