DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Aizuddin Saad
Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul

SERAMAI 5,752 perokok diberikan notis kesalahan kerana merokok di kawasan larangan bermula 1 Januari hingga 28 Jun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dalam tempoh sama juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan pemeriksaan di 122,032 premis menjual makanan dengan 7,469 notis kesalahan dikeluarkan atas kesalahan membabitkan kawasan larangan merokok.

Beliau berkata, enam negeri yang mencatatkan jumlah notis kesalahan tertinggi bagi kesalahan larangan merokok adalah Pahang sebanyak 1,103 kes, Selangor (783), Negeri Sembilan (783), Negeri Sembilan (772), Johor (768) dan Perak (612).

Menurutnya, untuk jumlah itu, KKM mengeluarkan kompaun bernilai RM1.76 juta untuk tempoh Januari hingga 28 Jun lalu.

"KKM juga sudah mewartakan 23 kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Adham menjawab pertanyaan yang dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu tahu jumlah saman mengikut negeri yang dikeluarkan kepada individu yang merokok di kawasan larangan serta jumlah kutipan denda yang diterima.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, sebanyak 933 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal memaparkan tanda larangan merokok manakala 263 lagi kepada pemilik yang gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:54 PM