X
AHMAD Maslan ketika perbahasan menjunjung titah diraja sempena sidang Dewan Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
AHMAD Maslan ketika perbahasan menjunjung titah diraja sempena sidang Dewan Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


BUKAN kerajaan pintu belakang, tapi kerajaan pintu istana yang sah, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Istilah baharu itu dibangkitkan beliau ketika membacakan usul Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat, hari ini.

"Kemelut politik negara diselesaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan bijaksana. Setelah Tun Mahathir (Mohamad) meletak jawatan, beliau diterima mengadap Tuanku dan diminta Tuanku untuk tidak meletak jawatan.

"Namun Tun Mahathir tetap dengan keputusannya, akhirnya Tan Sri Muhyiddin (Yassin) yang terpaksa dilantik sebagai Perdana Menter ke-8.

"Jadi ini kerajaan pintu istana yang sah, bukan kerajaan pintu belakang," katanya.

Bagaimanapun, istilah itu cuba disangkal Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) dan mengatakan pihak pembangkang lebih menyukai istilah kerajaan tebuk atap seperti pernah disebut Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang).

"Kami lagi suka kerajaan tebuk atap, lebih glamour," katanya.

Membidas kenyataan itu, Ahmad berkata, beliau membangkitkan istilah berkenaan selepas mendengar ada Ahli Parlimen yang menyebut kerajaan pintu belakang dalam pertikaian pada persidangan semalam.

"Disebut kerajaan ini kerajaan pintu belakang, Speaker pun pintu belakang. Yang tebuk atap saya tidak dengar lagi (di dalam dewan itu)," katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan Abdul Hadi dipetik berkata, kerajaan yang dibentuk oleh Perikatan Nasional (PN) dibuat secara tebuk ikut atap bukan ikut pintu belakang.

Kenyataan itu dibuat Hadi dalam perutusan yang disiarkan melalui Facebook beliau sebelum menyeru seluruh ahli Pas supaya bersyukur kerana Allah mengurniakan mereka peluang untuk mengambil alih kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:55 PM