Nor Farhani Che Ad


POLIS mengesahkan tiada kes liwat membabitkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Anggerik di Sungai Petani seperti tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata polis berjaya mengesan suspek yang berusia 17 tahun dan mangsa hari ini.

Beliau berkata, menurut kanak-kanak lelaki itu, semasa kejadian dia sedang bermain bersama rakannya sebelum didatangi suspek yang juga berstatus orang kurang upaya (lembam).

"Mangsa mengenali suspek dan ketika kejadian suspek cuba bermain bersama mangsa namun dia enggan.

"Ini menyebabkan suspek menarik seluar mangsa hingga terlondeh, mangsa juga bersama rakannya dikatakan bertindak menumbuk suspek sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kenyataan mangsa turut disokong rakannya berusia tujuh tahun yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, suspek juga sudah dipanggil dan mengakui insiden yang dinyatakan mangsa.

"Semasa dipanggil untuk diambil keterangan, bapa mangsa dan suspek turut hadir.

"Ekoran fakta ini, kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA)," katanya.

Hari ini, portal Harian Metro melaporkan seorang pemilik akaun Facebook mendakwa melihat kejadian kanak-kanak lelaki diliwat di belakang sebuah kontena berdekatan taman permainan di perumahan terbabit.

Pemilik akaun yang dipercayai wanita itu mendakwa bertindak membunyikan hon kenderaannya dengan kuat menyebabkan suspek melepaskan mangsa sebelum suspek ditahan oleh penduduk perumahan itu selepas mendengar jeritan wanita berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Polis siasat kes liwat kanak-kanak tular di media sosial
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:45 PM