KHAIRY. FOTO Shahril Badri
KHAIRY. FOTO Shahril Badri
Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

MANDAT baharu diperlukan kerajaan dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pandemik itu ternyata memberi impak yang besar kepada pelbagai sektor perniagaan, industri dan pendapatan rakyat.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, walaupun mendapat sokongan tipis ketika undian pemilihan Speaker Dewan Rakyat, namun ia tidak bermakna kerajaan tidak mampu mentadbir dengan baik.

"Bagi jangka pendek, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih boleh mentadbir dan berfungsi termasuk membentang usul di Dewan Rakyat.

"Kita harus memperbaharui mandat kerana pemulihan yang kuat untuk ekonomi memerlukan kerajaan lebih stabil, untuk jangka masa panjang" katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kerajaan kini sukar berfungsi susulan undian menyaksikan 111 undi sokongan diperoleh bagi menyokong usul kerajaan melantik Speaker Dewan Rakyat.

"Tidak dinafikan jumlah 111 dan 109 majoriti yang sangat kecil dan menjadikan keadaan sukar untuk kerajaan, tetapi tidak mustahil.

"Kerajaan masih boleh ditadbir dengan majoriti sangat tipis dan Rang Undang-Undang masih boleh diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:56 PM