Balqis Jazimah Zahari


"MEMANG rasa pelik sikit kerana nak kena jaga SOP tetapi kami akan biasakan diri," kata salah pelajar tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Jelapang di Ipoh, Muhammad Hakim Suhairi, 12, ketika ditemui pada pembukaan semula sekolah bagi sesi murid tahun lima dan enam hari ini.

Muhammad Hakim berkata, dia bersama rakan lain teruja untuk memulakan sesi pembelajaran selepas hampir empat bulan.

"Gembira dapat berjumpa cikgu dan kawan dan diharap semua dapat mengikuti prosedur yang ditetapkan.

"Kami yakin boleh terus mengekalkan dan mempraktikkan semua SOP, janji kita semua selamat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, ibunya juga sudah menyediakan segala keperluan berkenaan SOP sejak awal lagi.

"Mak sudah menyediakan 'facemask,' cecair pembasmi kuman dan sarung tangan dan dia sentiasa berpesan agar saya sentiasa menjaga jarak dan kalau bersin dan bercakap jangan deka-dekat dengan orang lain," katanya.

Seorang lagi pelajar, Nur Allisya Naurah Mohammad Azizi, 12, pula berkata, "Pertama masuk sekolah semula sekolah hari ini memang 'nervous' (gementar) sedikit sebab kita sekarang kena jaga SOP dalam suasana normal baharu.

"Tetapi di rumah memang ibu sudah menerangkan apa yang perlu dilakukan dan cikgu juga sudah banyak memberi maklumat daripada Facebook dan kumpula Whatsapp group kelas, jadi tidak ada apa yang perlu kita risaukan jika kita mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Noor Azman Zainal Abidin berkata, pihak sekolah menggunakan pendekatan menyalurkan kesemua maklumat berkenaan SOP melalui aplikasi Telegram, termasuk video simulasi SOP pergerakan anak dan kedudukan di bilik darjah atau kantin.

"Kami juga membuat sesi soal jawab bersama ibu bapa agar mereka lebih memahami berkenaan SOP yang dijalankan," katanya.

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Perak, 250 sekolah menengah dan 852 sekolah rendah beroperasi di seluruh negeri mulai hari ini, membabitkan 65,907 murid sekolah rendah dan 164,225 pelajar sekolah menengah.

GURU memeriksa suhu badan murid di SK Jelapang. FOTO Sharul Hafiz Zam
GURU memeriksa suhu badan murid di SK Jelapang. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 10:30 AM