MOHD Azmi Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
MOHD Azmi Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PENGENDALIAN pelarian yang betul dan teratur dengan status sementara akan membolehkan mereka menjadi aset yang membina untuk keperluan daya manusia di Malaysia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tugas mengetuai jawatankuasa meninjau isu berkaitan cadangan dasar membenarkan pelarian bekerja secara sah di negara ini.

Katanya, adalah wajar Kementerian itu mengetuai jawatankuasa untuk meneliti isu-isu berhubung membenarkan pelarian bekerja dan melihat segala aspek relevan.

"Kami mengalu-alukan kenyataanPerdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjawab soalan Parlimen mengenai isu membenarkan pelarian bekerja di Malaysia secara sah.

"Ini adalah langkah yang sangat positif. Kami bersetuju bahawa kehadiran pelarian boleh menjadi aset positif dalam membina polisi untuk mengurus sumber manusia di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi berkata, pendekatan inklusif dalam merangka keputusan dasar untuk mencari penyelesaian yang tepat adalah lebih bijak.

Menurutnya, pihak berkaitan yang menyantuni hak pelarian di kalangan masyarakat sivil harus dilibatkan untuk mendapatkan idea terbaik dalam menyelesaikan masalah pelarian.

"Walaupun penyelidikan yang teliti mengenai daya maju program ini harus dipercepat, prinsip keadilan dan sistem yang adil untuk memenuhi keperluan elarian adalah hal yang mendesak.

"Kami percaya bahawa ada pelarian yang berbakat, berkemahiran, dan berpendidikan tinggi untuk diserap dalam beberapa sektor dalam ekonomi negara," katanya.

Beliau turut mencadangkan inisiatif 'Projek Rintis Kebenaran Bekerja' oleh Gardenia yang kini menggunakan 93 orang pelarian Rohingya dapat menjadi rujukan untuk melihat kemungkinan kaedah berkenan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 11:11 AM