PELAJAR SMK  Aminuddin Baki memulakan sesi persekolahan hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
PELAJAR SMK Aminuddin Baki memulakan sesi persekolahan hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Murnaena Muhammad Nasir


PEMBUKAAN semula sekolah bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid tahun 5 dan 6 hari ini, berjalan lancar serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan Harian Metro seawal 6.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, Kuala Lumpur mendapati kebanyakan pelajar hadir dihantar ibu bapa dengan memakai pelitup muka.

Malah, pelajar dilihat mematuhi jarak sosial ketika di dalam kelas, menunggu giliran mengambil makanan, ke tandas dan beratur masuk ke makmal.

Selain itu, keterujaan jelas terpapar pada wajah ibu bapa ketika menghantar anak mereka di depan pintu masuk sekolah, dengan semua pelajar dikehendaki mengimbas suhu badan serta melakukan sanitasi tangan sebelum dibenarkan masuk.

Pelajar tingkatan 1, Sai Natth, 13, ketika ditemui meluahkan kegembiraan kerana dapat kembali ke sekolah setelah hampir empat bulan melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian di rumah.

"Saya lebih suka pembelajaran di dalam kelas, kerana lebih mudah berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan," katanya.

Sementara, ibu murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Taman Maluri, Azean Mat Yusof, 41, berkata, dia membuat persiapan seminggu lebih awal supaya anak tidak terkejut pada hari pertama sekolah dibuka.

"Pihak sekolah juga amat mematuhi SOP. Selain itu, anak-anak autisme perlu didedahkan dengan normal baharu supaya mereka lebih biasa," katanya.

Tinjauan juga mendapati murid SK Taman Maluri dilihat mematuhi SOP ditetapkan dengan bantuan guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid berjalan dengan lancar.

Inisiatif unik turut diambil pengurusan sekolah dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan membekalkan tong membasuh tangan di setiap kelas.

Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Taman Maluri, Hadi Harun, 48, berkata, penyediaan tong berkenaan bertujuan mengawal kesesakan murid sebelum dan selepas makan di dalam kelas.

"Bagi mengurangkan beban pihak sekolah, kami menyumbang baldi, tempat mencuci tangan, dispenser air dan mesin pengimbas suhu badan.

"Pemberian ini bagi memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan SOP seterusnya menjamin keselesaan dan keselamatan anak di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 1:36 PM