Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


SEKURANG-KURANGNYA 25 peratus syarikat tempatan akan berpeluang terbabit dalam projek solar berskala besar ([email protected]) dan mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan baharu, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau juga mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa LSS pusingan ketiga (LSS-3) yang dilaksana ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka bidaaan kepada syarikat luar negara.

"Bezanya ([email protected]) dengan LSS 3 yang dibuat mantan menteri, yang mana dulunya dibuat bidaan kepada syarikat antarabangsa, hingga menyebabkan lima syarikat ditawar dan empat daripadanya diperoleh syarikat yang rakan kongsinya adalah dari Jerman, Sepanyol, Perancis dan Singapura.

"Tetapi kita (kerajaan) berusaha memastikan industri kekal, pelaburan ini memberi kesan kepada ekonomi negara dengan menggalakkan pembabitan syarikat tempatan," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu penjelasan mengenai ketetapan kerajaan dalam memastikan syarikat tempatan terbabit bidaan LSS dan beza projek terdahulu dengan [email protected].

Mengulas lanjut, Dr Shamsul Anuar berkata, kerajaan berkeyakinan dengan keupayaan syarikat tempatan dan sebab itu hanya membuka bidaan kepada syarikat 100 peratus diperbadankan di Malaysia dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan.

"Matlamat kerajaan dalam menawarkan 1,000 megawatt (mw) kuota solar iaitu kuota yang paling besar dalam sejarah bidaan yang pernah dibuat untuk memastikan sektor tenaga ini terus lestari dan mampan. Ini juga usaha kerajaan untuk memulih dan merancakkan kembali ekonomi negara dalam pasca Covid-19," katanya

Kepada soalan asal Yeo Bee Yin (PH-Bakri), beliau berkata, kerajaan meneruskan proses bidaan terbuka bagi penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) di bawah [email protected] bagi memastikan kos penjanaan kekal kompetatif dan rendah.

Katanya, langkah itu selaras dengan dasar perolehan tenaga elektrik kerajaan iaitu mengikut prinsip least cost option dan memastikan TBB negara bersaing secara sihat.

"Bagi LSS-3, lima pembida berjaya dan menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Tenaga Nasional Berhad. Walaupun syarikat tersebut mengalami kelewatan pelaksanaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kesemua pembida tersebut dijangka mencapai financial close sebelum akhir tahun," katanya.

Yeo bertanya mengenai status pelaksanaan program LSS pakej ketiga serta langkah yang diambil bagi memastikan kos penjanaan bagi [email protected] yang baru diumumkan, kekal kompetitif dan rendah.

SHAMSUL Anuar ketika sesi sidang Dewan Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah
SHAMSUL Anuar ketika sesi sidang Dewan Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 1:46 PM