GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


AKIBAT mencuri kayu milik sebuah syarikat perkakasan, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizal Misroon, 35 dari Bandar Seri Jempol selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jika gagal bayar denda itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rizal didakwa dengan curang mencuri harta boleh alih iaitu 10 batang kayu terpakai milik syarikat itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat perkakasan di Jalan Serting Tengah, Jempol pada 6 petang, 6 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengambil kayu berkenaan yang terletak dibelakang rumah pemilik syarikat dan memasukkan ke dalam lori miliknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:06 PM