130kg daun ketum dipercayai diseludup ke Thailand dirampas oleh Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) di Kampung Jedok, Tanah Merah, malam tadi. FOTO IHSAN ATM
130kg daun ketum dipercayai diseludup ke Thailand dirampas oleh Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) di Kampung Jedok, Tanah Merah, malam tadi. FOTO IHSAN ATM
Siti Rohana Idris


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) merampas 130 kilogram (kg) daun ketum di Kampung Jedok, Tanah Merah, malam tadi.

Rampasan dibuat pada 10 malam apabila pihak berkuasa ternampak kelibat cahaya lampu kenderaan ketika pemantauan dibuat di kawasan Op Benteng, di sini.

Dalam satu kenyataan media, anggota 4 RRD menghampiri kawasan dikesan kehadiran kenderaan terbabit sebelum mendapati enam lelaki berada di atas motosikal sambil memegang bungkusan plastik hitam.

"Sebaik serbuan dibuat, empat daripada mereka melarikan diri ke dalam semak berhampiran manakala dua lagi memecut lari dengan sebuah motosikal.

"Bagaimanapun hasil tindakan pantas anggota, lapan bungkusan plastik hitam mengandungi 399 bungkusan kecil daun ketum dirampas.

"Dua motosikal Honda C70 dan Honda Scoopy yang tidak sempat dilarikan turut dirampas," katanya.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM20,050 yang membabitkan 130kg daum ketum bernilai RM12,350 dan dua motosikal bernilai RM7,700.

Semua barangan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Rampasan daun ketum di itu adalah yang kedua dalam bulan ini dan ia memberi indikator wujudnya sindiket penyeludupan barang larangan itu.

"Kami percaya daun ketum itu dibawa dari utara Semenanjung untuk pasaran Thailand berikutan permintaan tinggi di negara berkenaan.

"Penduduk tempatan dimohon terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat jenayah rentas sempadan supaya tindakan sewajarnya dapat

diambil bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:07 PM