KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal meluangkan masa bersama kanak-kanak di Tadika Kemas Siti Syuhadah yang terletak di dalam kawasan IPD Petaling Jaya, hari ini. FOTO ihsan Polis
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal meluangkan masa bersama kanak-kanak di Tadika Kemas Siti Syuhadah yang terletak di dalam kawasan IPD Petaling Jaya, hari ini. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


"KEHADIRAN saya di tadika ini mengimbau kembali ingatan saya yang tidak dapat meluangkan masa bersama anak pada usia mereka ketika itu," kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama tujuh kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun yang juga murid di Tadika Kemas Siti Syuhadah terletak di dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, beliau amat seronok meluangkan masa bersama kanak-kanak berkenaan dengan beramah mesra dengan mereka.

"Dulu, waktu anak saya masih kecil dan seusia mereka, saya tidak dapat meluangkan masa dengan mereka seperti ini kerana kesibukan kerja.

"Secara tidak langsung, lawatan saya hari ini membolehkan saya meluangkan masa dengan anak kepada pegawai serta anggota polis di IPD Petaling Jaya yang ditempatkan di tadika ini dan menebus kekecewaan itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kehadirannya di tadika itu juga boleh mengubah persepsi kanak-kanak yang sering 'dimomokkan' mengenai pihak polis apabila mereka dikatakan nakal.

"Malah pada waktu kecil dulu pun, saya sering dimomokkan dengan perkara sama hingga saya takut melihat anggota dan pegawai polis.

"Dengan adanya aktiviti sebegini, kanak-kanak itu boleh melihat kami (pihak polis) yang memakai pakaian seragam dalam keadaan lebih mesra melalui aktiviti bercerita," katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah mengarahkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis melakukan pemantauan di semua sekolah yang mula dibuka, hari ini.

"Ia bertujuan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak," katanya.

Lawatan Nik Ezanee ke tadika berkenaan yang turut bersiaran langsung di Facebook hari ini mendapat pujian warganet yang menghargai usaha beliau meluangkan masa bersama kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:21 PM