ABDUL Hamid Bador. FOTO Bernama.
ABDUL Hamid Bador. FOTO Bernama.
BERNAMA

ADA pegawai dan anggota polis membayar ribuan ringgit kerana ingin lulus peperiksaan dalaman bagi mendapatkan peluang temu duga untuk kenaikan pangkat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mendedahkan perkara itu, beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai pegawai dan anggota yang membayar antara RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata-mata untuk tujuan itu.

"Saya tidak akan sesekali bertoleransi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang mengambil suapan bagi meluluskan peperiksaan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (kepada pihak terbabit).

"Oleh yang demikian, PDRM akan mewujudkan satu sistem khas bagi mengelak pihak ketiga daripada mengakses dan mengubah keputusan peperiksaan kenaikan pangkat," katanya kepada Bernama di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Abdul Hamid berkata, sistem berkenaan akan dikendalikan terus oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

"Ini kerana setiap peperiksaan yang dikendalikan PDRM perlu ada tapisan dan ia harus dikendalikan dengan penuh disiplin, berintegriti serta amanah," katanya.

Beliau berkata, sistem berkenaan akan mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi supaya tidak digodam oleh individu tidak bertanggungjawab hingga boleh mengubah keputusan peperiksaan.

"Beberapa tahun lalu, terdapat satu kes membabitkan orang dalam dan pelatih PDRM yang sudah ditahan dan diambil tindakan berhubung perkara terbabit.

"Ada jurulatih yang menawarkan jawatan detektif dan akan mengaturkan posisi itu terhadap seorang pelatih yang ketika itu masih dalam peringkat latihan," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Abdul Hamid menegaskan Jabatan Pengurusan menyedari dan mengambil maklum berhubung isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:22 PM