GURU mengambil suhu badan serta mengimbas QR Code untuk merekodkan kehadiran pelajar di SMK Dato Ahmad Maher. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
GURU mengambil suhu badan serta mengimbas QR Code untuk merekodkan kehadiran pelajar di SMK Dato Ahmad Maher. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

PERASAAN gembira berbaur khuatir pasti dirasai pelajar, guru serta ibu bapa, namun memandangkan kes Covid-19 semakin terkawal, pembukaan sesi persekolahan diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Maher, Kota Bharu, Prof Dr Wan Hazabbah Wan Hitam berkata, selepas hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah, kini tiba giliran pelajar Tingkatan Satu hingga Empat kembali ke sekolah bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah menggembeling tenaga selama dua minggu untuk membuat persiapan berpandukan garis panduan diberikan bagi memastikan pelajar mematuhi SOP apabila sesi persekolahan dibuka sepenuhnya.

"Kedatangan pelajar sangat baik iaitu melebihi 99 peratus dan dalam normal baharu, kehadiran mereka dikemaskini melalui imbasan kod QR menerusi aplikasi Datang.my bagi merekod kehadiran dan suhu badan pelajar.

"Semua pelajar mengikut SOP diberikan KPM dan pada masa sama, pihak sekolah mengikuti semua persediaan untuk menyambut kedatangan pelajar bagi memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara bersemuka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan di SMK Dato Ahmad Maher, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu dan Pengetua SMK Dato Ahmad Maher, Dr Rani Abd Mutalib.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:31 PM