X
PGA dari Batalion 3 Wilayah Utara berjaya merampas 2,667 kilogram daun ketum bernilai RM80,010 dan menahan enam lelaki warga Thailand dalam enam siri Op Benteng COVID bermula 11 Julai hingga semalam. FOTO IHSAN PGA
PGA dari Batalion 3 Wilayah Utara berjaya merampas 2,667 kilogram daun ketum bernilai RM80,010 dan menahan enam lelaki warga Thailand dalam enam siri Op Benteng COVID bermula 11 Julai hingga semalam. FOTO IHSAN PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 3 Wilayah Utara berjaya merampas 2,667 kilogram daun ketum bernilai RM80,010 dalam enam siri Op Benteng bermula 11 Julai hingga semalam.

Komander PGA Briged Utara Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya berjaya menahan enam lelaki warga Thailand sepanjang operasi terbabit disyaki menjadi 'tentera semut' bagi membawa daun ketum untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, selain itu turut dirampas lima buah motosikal pelbagai jenis bersama sebuah kereta jenis Toyota Corona yang dianggarkan bernilai lebih RM15,500.

"Rampasan terbesar yang berjaya dirampas pihaknya dalam operasi selama empat hari berkenaan adalah pada semalam di kawasan kebun getah di Kampung Wang Kelian.

"Pada operasi berkenaan yang dijalankan pada 1.45 tengah hari, pasukan perisik dan platun Batalion 3 PGA melakukan rondaan rutin dan menemui sebuah kandang kambing yang kelihatan mencurigakan.

"Selepas melakukan pemeriksaan berjaya menemui 1,550 kilogram daun ketum yang dimuatkan ke dalam 68 guni berwarna putih disyaki diletakkan buat sementara waktu sebelum di seludup ke Thailand.

"Turut ditemui sebuah motosikal yang ditinggalkan dan anggota PGA membawa barangan berkenaan ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Ghani berkata, rampasan kedua terbesar adalah pada Ahad lalu dengan rampasan sebanyak 490 kilogram daun ketum selain menahan tiga lelaki warga Thailand di ladang getah sekitar kawasan Wang Kelian berdekatan tembok sempadan Malaysia-Thailand.

"Pemeriksaan yang dilakukan di dalam kawasan berkenaan berjaya menemui 14 guni daun ketum berisi 490 kilogram daun ketum dan menahan tiga lelaki yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selepas cuba menghampiri kawasan berkenaan.

"Kita mengesyaki mereka adalah pembawa daun ketum dan kesemua mereka bersama barangan rampasan diserahkan kepada pihak polis Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, susulan daripada tangkapan berkenaan pihaknya turut menahan tiga lagi lelaki warga Thailand yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup ketum pada hari yang sama sejurus penahanan tiga lelaki di ladang getah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 5:17 PM