PEMANDANGAN alam yang menakjubkan dari Hansons Peak di Cradle Mountain, Tasmania. FOTO Tourism Australia
PEMANDANGAN alam yang menakjubkan dari Hansons Peak di Cradle Mountain, Tasmania. FOTO Tourism Australia

MENGHIRUP udara segar hutan hujan yang menghijau, menikmati pemandangan alam semula jadi unik, berjalan di pesisir pantai memutih dan mengenali pelbagai jenis hidupan liar pastinya memberikan pengalaman cukup mempesona.

Namun, untuk merasai kesemua itu menerusi kunjungan ke satu destinasi saja pastinya sesuatu yang mustahil.

Keunikan negara kanggaru, Australia mampu memberikan pengalaman mengujakan kerana ia menghimpunkan pelbagai tarikan khususnya bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Ingin mengetahuinya lebih lanjut?

Lapan destinasi percutian disenaraikan ini mungkin boleh memberikan anda idea percutian unik di Australia.

1. Memandu sendiri dan rasai keindahan pantai di Great Ocean Road, Victoria

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Inginkan pengalaman pemanduan pesisir pantai paling indah di dunia dan menikmati keindahan di sepanjang pantai barat daya Victoria? Great Ocean Road adalah tempatnya.

Tebing curam yang menakjubkan, pantai mempesona dan hidupan liar mengujakan, pengunjung pastinya seronok mendekatkan diri dengan alam di sepanjang jalan ikonik ini.

Bermula dengan 90 minit pemanduan dari pusat bandar Melbourne, ia membentang sejauh 400 kilometer dari bandar Torquay ke Nelson di sempadan Australia Selatan.

Di sepanjang laluan ini, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menakjubkan antaranya pemandangan mempesona alunan ombak terkenal di dunia di Bells Beach atau bersantai di pasir di Anglesea.

Lawatan ke perkampungan nelayan di Port Fairy juga antara yang menanti.

Dari hutan hujan dan sungai hingga gunung berapi lama, Great Ocean Road juga mempamerkan alam paling pelbagai.

Air terjun dan gaung berkilauan serta berjalan melalui puncak pokok kuno yang berlumut di Taman Negara Great Otway, cukup mengujakan.

Aktiviti di Otway Fly Treetop Walk dan Otway Fly Zipline Tour pasti memberikan keseronokan tersendiri.

Anda juga boleh membawa pulang pelbagai produk tempatan dan tempat makan yang menawarkan makanan enak.

Untuk makanan laut, kunjungi Lorne Fisheries Co-Op untuk merasai tiram dikupas segar atau Co-Op Nelayan Apollo Bay untuk 'fish and chips'.

Great Ocean Road adalah rumah kepada haiwan liar. Lawatan Seals by Sea untuk melihat ratusan anjing laut di Cape Bridgewater atau berenang dengan lumba-lumba di Queenscliff di Semenanjung Bellarine juga antara aktiviti harus dicuba.

2. Rasai keseronokan menunggang basikal quad di Sand Dunes Advanture, Sydney

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Sand Dune Adventures (SDA) menawarkan pengalaman eksklusif 'Cultural Quad Bike Riding' kepada pengunjung seperti melintasi landskap menakjubkan dan tradisional Worimi Sand dunes di Port Stephens, New South Wales yang juga dicatatkan sebagai jisim pasir bergerak di pesisir terbesar di hemisfera selatan.

Pengunjung boleh menunggang motor quad 400cc dan menikmati pemandangan pesisir pantai yang indah dengan pemandu Orang Asli berpengalaman.

Selain menyaksikan pemandangan mempesona, pengunjung juga boleh mengenali dengan lebih dekat budaya dan sejarah Orang Asli, mengunjungi perkhemahan asal dan mengetahui mengenai makanan, ubat-ubatan dan rahsia mencari sumber air tawar untuk kehidupan.

Jadi, jika anda inginkan sesuatu menguji adrenalin atau hanya pelayaran, SDA menawarkan pengembaraan terhebat di salah satu rahsia tersembunyi di Australia, 'Worimi Sand Dunes'!

3. Tasik merah jambu di Lake Hillier mempesona mata memandang

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Keindahan tasik berwarna merah jambu antara keajaiban dan keunikan yang sentiasa memanggil si pengembara untuk mengunjunginya.

Golden Outback Australia mempunyai tasik berwarna merah jambu yang menjadi destinasi impian kebanyakan jurugambar.

Lake Hillier pula adalah tasik merah jambu paling terkenal dan boleh ditemui berhampiran Esperance di Australia Barat.

Wilayah ini juga adalah rumah kepada Lake Ballard, iaitu tasik garam berkilauan dekat Kalgoorlie.

Menariknya mengenai tasik ini, terdapat 51 patung logam hasil karya Sir Antony Gormley yang kekal sebagai 'penghuni' tasik yang juga antara tarikan pelancong.

4. Nikmati keindahan alam semula jadi yang menakjubkan di Kuranda Scenic Railway, Queensland

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Hutan hujan yang tersenarai sebagai Warisan Dunia Far North Queensland, The Wet Tropics, adalah antara yang tertua di dunia dan rumah kepada pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan.

Penerokaan dengan menaiki kereta api yang terkenal ini akan mengambil perjalanan dari Cairns ke Kuranda dengan pemandangan kampung di dalam hutan hujan yang terletak disepanjang perjalanan dengan pemandangan gunung-ganang di sekitarnya.

Turut melalui kawasan tinggi dengan 328 meter dari atas laut, perjalanan ke Kuranda membawa anda melewati air terjun dan Barron Gorge yang menakjubkan.

Desa Kuranda pula satu bandar berhampiran Cairns yang memiliki pelbagai tarikan menarik dan pengalaman unik menanti pengunjung.

Bukan itu saja, desa mempesona ini juga membolehkan anda mengakses Great Barrier Reef yang turut menawarkan pelbagai tarikan menarik.

5. Hayati keindahan alam di Cradle Mountain, Tasmania

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Taman Negara Cradle Mountain-Lake St Clair adalah rumah kepada Overland Track dan Cradle Mountain.

Sebahagian dari kawasan Warisan Dunia Tasmania Wilderness, taman ini adalah tempat paling istimewa di mana pinus konu tumbuh di tepi tasik dan lereng sungai pergunungan yang sejuk memberikan pemandangan indah.

Taman ini juga menyediakan habitat yang kaya untuk hidupan liar, termasuk Tasmania, Qoulls, Platipus, Enhidna dan pelbagai spesies burung.

Permata tersembunyi Cradle Mountain yang penuh dengan keindahan alam dapat dilihat dari Dove Lake menerusi lawatan sehari.

Berjalan selama dua jam di sekitar tasik menghabiskan masa seharian di menawan puncak Cradle Mountain antara aktiviti yang menyeronokkan.

Pada akhir musim bunga dan panas, pengunjung boleh menyaksikan paparan bunga liar mengagumkan termasuk waratahs, orkid, banksias, hakeas dan leatherwoods.

Aktiviti pelayaran tasik dan memancing ikan juga tersedia kepada pengunjung dibenarkan mengikut musim.

Penerbangan indah di sekitar taman juga disediakan sekali gus menambahkan lagi keterujaan pengunjung tatkala berada di sini.

6. Berbasikal gunung di Canberra yang mengujakan

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Mungkin ramai yang tidak tahu, Canberra destinasi menarik berbasikal di pergunungan.

Di sini, terdapat tiga lokasi boleh dikunjungi untuk aktiviti berbasikal gunung yang pasti mengujakan.

Pertama adalah Majura Pines.

Di sini, ia mempunyai beberapa pilihan laluan yang bersesuaian dengan kemampuan anda.

Jika anda datang bersama anak yang ingin mendapatkan keyakinan atau baru memulakan dunia MTB, Beginners Trails sangat sesuai untuk mereka.

Selain merasai keseronokan berbasikal, tarikan menarik yang menanti di sini termasuklah Gunung Majura Vineyard, The Truffle Farm, IKEA dan Pusat Beli-belah Majura Park.

Lokasi kedua adalah Stromlo Forest Park yang menawarkan pengalaman berbasikal gunung bertaraf dunia.

Laluan basikal gunung Stromlo di sini hanya sebahagian dari Stromlo Forest Park.

Menariknya, terdapat perkhidmatan bas ulang-alik pada hujung minggu dan cuti umum yang ditawarkan oleh Dynamic Motivation sekali gus memberikan lebih banyak masa untuk anda menikmati keseronokan menuruni bukit dengan basikal dua roda.

Selesai berbasikal, anda boleh menikmati hidangan enak di The Handlebar Cafe, makan tengahari di National Arboretum Canberra atau minum kopi di Lava.

Selain berbasikal, anda juga mengunjungi National Arboretum Canberra dan National Zoo & Aquarium.

Centenary Trail adalah lokasi berbasikal gunung yang boleh anda cuba terletak di pinggir Canberra yang menghubungkan persekitaran semula jadi dan bandar dan menjadi permata tersembunyi.

Laluan sejauh 145 km ini menawarkan beberapa bahagian dan perhentian membolehkan anda meneroka keunikannya.

7. Formasi batu merah kuno menakjubkan menanti di Uluru-Kata Tjuta national Park

FOTO Tourism Australia
FOTO Tourism Australia

Formasi batu merah kuno Kata Tjuta di taman negara ini memberikan pemandangan luar biasa di Australia Tengah.

Kata Tjuta adalah sekumpulan formasi batuan kuno yang besar kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari Uluru di Red Centre Australia.

Ia terdiri dari 36 kubah yang tersebar di kawasan lebih dari 20 kilometer (12.4 batu).

Puncak tertinggi adalah Gunung Olga, yang dinamakan sebagai penghormatan kepada Ratu Olga dari W├╝rttemberg oleh penjelajah Ernest Giles.

Berkunjung ke sini, jangan lepaskan peluang berjalan di sekitar dasar Kata Tjuta di lembah Winds Walk.

Selain itu, ikuti juga penerbangan helikopter untuk menghargai skala formasi yang menakjubkan.

Menyaksikan matahari terbit atau terbenam di atas batu merah Taman Negara Uluru-Kata Tjuta juga sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

Mengembara melalui laluan denai berjalan kaki mengikut kemampuan pengunjung pasti memberikan pengalaman menakjubkan.

Terdapat pelbagai cara untuk sampai ke Taman Negara ini.

Taman Negara Uluru-Kata Tjuta terletak kira-kira 450 kilometer atau sejauh 4.5 jam perjalanan di barat daya Alice Springs.

Selain menaiki pesawat, Alice Springs ini juga boleh dikunjungi dengan kereta melalui lebuh raya yang menghubungkan Alice Springs dengan Darwin dan Adelaide; jaraknya sekitar 16 jam perjalanan dari Alice Springs ke kedua-dua bandar.

8. Dekati hidupan liar di Kangaroo Island

FOTO South Australian Tourism Commission
FOTO South Australian Tourism Commission

Terletak 13 kilometer dari Australia Selatan dan 30 minit dengan menaiki pesawat dari Adelaide, Kangaroo Island dihuni banyak hidupan liar dan haiwan unik, makanan yang dihasilkan secara tradisional oleh profesional, formasi batuan epik dan hotel terbaik di dunia.

Berkunjung ke sini, antara aktiviti menanti pengunjung di pulau yang indah ini termasuklah berjalan di kawasan dipenuhi singa laut di Taman Pemuliharaan Seal Bay iaitu satu-satunya tempat di dunia membolehkan pengunjung berjalan antara singa laut Australia yang terancam dengan kepupusan.

Terkenal sebagai lokasi penempatan hidupan liar, selain singa laut, anda juga boleh menjumpai beruang koala dan kanggaru serta banyak lagi yang pastinya membuatkan anda pulang dengan 1001 kenangan.

Kangaroo Island ini juga adalah destinasi gaurmet yang terkenal dengan makanan laut dan keju.

Untuk makan tengah hari, anda boleh menikmati keenakan tiram dan abalone di Oyster Farm Shop.

Jika ingin pengalaman menjamu selera mengujakan, menikmati hidangan makanan tempatan di bawah pokok ara gergasi di Enchanted Fig Tree berhampiran Stokes Bay adalah lokasinya.

Anda juga boleh mencuba sendiri keenakan udang marron, iaitu udang kara air tawar Australia di Marron Cafe yang terletak di tengah pulau.

Lokasi makanan laut lain yang boleh dikunjungi ialah Kangaroo Island Fresh Seafoods dan Takeaway di Kingscote.

Kunjungi juga pasar tani yang menjual pelbagai hasil tempatan di Penneshaw pada ahad pertama setiap bulan dan di Kingscote pada minggu kedua dan keempat setiap bulan.

Ia pastinya menemukan anda dengan hasil tempatan yang sedar.

Di Kangaroo Island ini juga, anda berpeluang melihat sendiri keunikan formasi batuan yang unik dan menakjubkan di Taman Negara Flinders Chase.

Untuk ke pulau yang indah ini sangat mudah. Anda boleh menaiki feri menerusi Kangaroo Island Sealink yang beroperasi setiap hari dari Australia Selatan ke Penneshaw iaitu bandar utama di pulau ini.

Anda juga boleh menaiki bas dan penerbangan ke pulau yang menyediakan pelbagai tarikan menarik.

Tips melancong dengan selamat

Memandu sendiri adalah salah satu cara terbaik untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang disajikan di Australia.

Percutian pandu sendiri ini juga membolehkan pengunjung menjaga pergerakan di kawasan luar untuk menjaga keselamatan kendiri.

Sepanjang bercuti, menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan adalah satu kemestian.

Selain itu, pengunjung juga disarankan mencari maklumat tambahan mengenai percutian di kala pandemik ini dan perlu peka terhadap sebarang perubahan dalam sebarang situasi saat berada di Australia.

Hubungi juga agensi pelancongan, penyedia penginapan dan Pusat Informasi Pelancong setempat untuk saranan mengenai keadaan lokasi terbaik.

Untuk lebih banyak inspirasi menarik mengenai percutian di Australia, layari laman web Tourism Australia. Selamat bercuti!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:21 PM