X
BAZAR Karat JB dibuka semula malam tadi. FOTO Omar Ahmad
BAZAR Karat JB dibuka semula malam tadi. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


BAZAR Karat JB di Johor Bahru mula dibuka malam tadi dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas ditutup hampir empat bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat, Fuad Rahmat berkata, hanya laluan sehala dengan satu pintu keluar dan satu pintu masuk dibuka kepada pengunjung bagi memastikan mereka mematuhi penjarakan sosial.

Katanya, bazar itu akan beroperasi bermula 8 hingga 12 malam mengikut SOP normal baharu, berbanding sebelum ini mereka beroperasi 6 petang hingga 2 pagi, manakala cuti bagi operasi adalah setiap Isnin.

"Pengunjung hanya dibenarkan memasuki kawasan bazar mengikut pintu masuk di Jalan Tan Hiok Nee sahaja dan keluar melalui pintu Jalan Segget (OCBC Bank).

"Seramai 350 peniaga kekal beroperasi di Bazar ini, biarpun ada penjarakan sosial antara peniaga, tetapi jika peniaga mempunyai dua khemah atas pemilik sama, khemah mereka akan dijarakkan", katanya ketika ditemui semasa pembukaan semula bazar itu, malam tadi.

Sementara itu, peniaga, Abu Bakar Abd Manaf, 41, menzahirkan kesyukuran dengan pembukaan Bazar Karat yang menjadi punca pendapatannya.

"Kami sudah lama tidak berniaga jadi rasa bersyukur dan berharap sambutan pengunjung sama seperti sebelum ini.

"Kita juga menunggu berita baik pembukaan semula sempadan Johor-Singapura, kerana kebanyakan pelanggan memang dari pelancong Singapura", katanya.

Bazar Karat turut meminta peniaga dan pengunjung mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau Jejak Johor serta memeriksa suhu badan di pintu masuk Bazar JB.

Kanak-kanak serta warga emas atau golongan berisiko tinggi tidak digalakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai dalam usaha mengelakkan jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 11:09 AM