X
TUAN Ibrahim (tengah) menghadiri Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.FOTO Bernama
TUAN Ibrahim (tengah) menghadiri Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.FOTO Bernama
Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


PAS akan menggunakan pendekatan berbeza daripada parti lain dalam persidangan parlimen sesuai dengan pendekatan yang dibawa selama ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia merangkumi akhlak baik yang diterapkan kepada semua ahli parlimen parti itu bagi memastikan hujah yang dibentang disampaikan dengan berkesan.

Katanya, sejak dulu lagi Pas menjadi sasaran pihak tertentu yang ingin menjatuhkan tokoh dari parti berkenaan menerusi sesi perbahasan, namun mereka sentiasa bersedia dari segi fakta dan hujah.

"Sejak dulu lagi waktu Pas jadi ahli parlimen, kita tengok serangan dia berfokus. Bila kita jadi kerajaan, kita nampak ia lebih ketara, bila menteri atau timbalan menteri Pas, dari agama saja, kena serang.

"Seolah-olah ia sengaja dirancang. Saya sendiri perhatikan soalan ditanya kepada orang lain, tapi akan ada yang lain bangun, masing-masing nampak ketara. Mungkin kerana sikap kita yang jaga akhlak," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, pendekatan berbeza itu termasuklah penghujahan yang tertib, tidak terpekik-pekik dan bertempik.

"Kita tidak menjerit-jerit yang menggambarkan akhlak yang tidak baik dalam parlimen.

"Bagi saya yang penting kita bukan nak ubah yang dalam parlimen, yang kita nak ubah yang di luar. Yang dalam itu tak akan ubah parti mereka.

"Tapi rakyat, orang awam menilai, pegawai kerajaan menilai. Kita harus tampil dengan akhlak dan adab dan ini kita pesan kepada ahli parlimen begitu. Dan jangan sesekali kita hina orang," katanya.

Ditanya mengenai apakah faktor pengalaman sebagai kerajaan baru menjadi faktor, beliau berkata itu bukan masalah kerana sebelum ini Pas juga ada tokoh berpengalaman ketika menjadi pembangkang.

"Tapi kadang-kadang kita pun geram juga, terpaksalah tahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:50 PM