AB RAHMAN THOBRONI MOHD MANSOR
AB RAHMAN THOBRONI MOHD MANSOR
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PERAK menjadi negeri pertama mewujudkan Mahkamah Utama Syariah (MUS) yang memberi peluang kedua kepada pihak bertikai bagi mengemukakan rayuan atau permohonan ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, Perak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman Syariah.

Menurutnya, ia selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan mewujudkan satu lagi lapisan mahkamah rayuan dalam sistem berkenaan.

"Bagi kes yang bermula di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ini seperti kes tuntutan harta sepencarian dan kes tuntutan Hadhanah (hak penjagaan anak), hanya terdapat sekali sahaja hak merayu iaitu di Mahkamah Rendah Syariah (MRS).

"Sedangkan kebanyakan kes berkenaannya adalah berat serta nilai tuntutannya lebih tinggi. Oleh itu dengan wujudnya satu lagi lapisan mahkamah selepas MRS, pihak yang bertikai memperoleh dua kali peluang merayu," katanya melalui kenyataan di Ipohm hari ini.

Menurutnya, hari ini sejarah tercipta apabila MUS bersidang buat pertama kalinya sejak pengumuman berhubung penubuhannya melalui Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 5 Disember 2018.

"Sidang pertama yang berlangsung hari ini dibarisi tiga panel hakim. Ia dipengerusikan Ketua Hakim Mahkamah Syarie Perak, Datuk Asa'ari Mohd Yazid; bekas Presiden Mahkamah Rayuan Persekutuan, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, dan Ketua Hakim Syarie dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

"Kes pertama yang didengar hari ini adalah membabitkan rayuan kes harta sepencarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:57 PM