X
Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

RAPID Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang digunakan Malaysia ketika ini melepasi penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) apabila menunjukkan peningkatan tahap sensitiviti daripada 84.4 kepada 90 peratus manakala spesifikasi kekal 100 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, RTK-Ag mempunyai kelebihan mengesan jangkitan Covid-19 dalam jumlah yang besar dan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, penilaian semula teknikal yang dijalankan terhadap bekalan agihan yang terbaru menunjukkan peningkatan tahap sensitiviti dan spesifikasi tinggi.

"Sehingga semalam, 88,048 ujian RTK-Ag dijalankan dan sebanyak 197 ujian dikesan positif Covid-19 iaitu kadar positif 0.2 peratus.

"Daripada jumlah ini, 25,038 saringan dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Johor, Kedah dan Pulau Pinang dengan purata 357 orang disaring setiap hari.

"Kebanyakannya adalah di KLIA dan KLIA2 manakala bagi ujian RT-PCR (Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) pula berjumlah 829,238 sudah dijalankan, setakat ini," katanya dalam sidang media Covid-19, hari ini.

DR NOOR Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
DR NOOR Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA

Dr Noor Hisham berkata, terdapat insiden di mana pesakit dikatakan 'false negative' iaitu ujian RTK-Ag mempunyai sensitiviti sebanyak 90 peratus.

"Ini bermakna daripada 100 orang yang disaring, mungkin terdapat keputusan 'false negative' bagi 10 orang dan juga satu kekangan ujian ini.

"Berdasarkan siasatan, kemungkinan besar individu yang mendapat keputusan false negative berada dalam tempoh inkubasi di mana kandungan bilangan virus adalah rendah untuk dikesan dengan ujian RTK-Ag.

"Berikutan itu, setiap individu yang disaring masih perlu menjalani tempoh 14 hari kuarantin seperti yang ditetapkan dalam polisi pengurusan Covid-19. Sekiranya didapati bergejala, perlu dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk tindakan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:12 PM