GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan kepada pihak berkuasa di United Kingdom mengenai perintah interim dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melarang sebarang urusan membabitkan dana berjumlah lebih US$340 juta (RM1.452 bilion) yang disimpan dalam akaun escrow Clyde & Co LLP di London.

Menerusi kenyataannya hari ini, SPRM berkata perintah interim itu akan dimaklumkan melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membolehkan dana tersebut dibekukan.

"Berdasarkan hasil siasatan, SPRM percaya bahawa wang tersebut mempunyai kaitan dengan konspirasi penipuan antaranya melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi Tarek Obaid, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta individu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya," demikian menurut kenyataan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah interim bagi melarang urusan dengan harta di luar negara membabitkan wang kira-kira US$340 juta (RM1.452 bilion) yang disimpan di dalam akaun escrow sebuah firma guaman antarabangsa, Clyde & Co LLP di London.

Perintah interim itu dikeluarkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan berkuat kuasa hari ini (16 Julai 2020).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:50 PM