ARIFFIN (dua kanan) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian lawatan kerja di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Chukai. FOTO Ghazali Kori
ARIFFIN (dua kanan) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian lawatan kerja di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Chukai. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

TAMAN Rekreasi dan Zoo Kemaman (TRZK) di Chukai, menerima kunjungan hampir 3,000 orang sehari pada setiap hujung minggu selepas dibuka semula pada 13 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah pengunjung di TRZK meningkat tiga kali ganda pada hujung minggu berbanding 1,000 pengunjung sehari pada hari biasa.

"Pandemik Covid-19 ini sebenarnya memberikan kita rahmat dan peluang yang boleh dimanfaatkan untuk mempergiatkan aktiviti pelancongan dalam negeri seperti saranan kerajaan untuk memperkasakan sektor pelancongan domestik.

"Sejak dibuka pada 2009 hingga Jun 2020, TRZK merekodkan seramai 756, 858 pengunjung dan angka ini jika hendak dibandingkan dengan jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu memang agak jauh ketinggalan.

"Kita akan bekerja lebih keras dengan melihat kembali perancangan pembangunan TRZK dan diskaun harga tiket masuk sehingga 50 peratus sehingga 31 Ogos ini diyakini mampu menarik minat lebih ramai pengunjung," katanya selepas mengadakan lawatan di TRZK di Chukai, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Dalam memperkenalkan 20 pakej pelancongan di Terengganu, Ariffin berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu turut memasukkan TRZK sebagai salah satu daripada lokasi bagi pakej pelancongan Kemaman Idaman.

Katanya, ia termasuk lokasi lain seperti bandar Chukai, Masjid Kampung Tuan, Hai Peng Coffee, Firefly Cruise, Perkampungan Nelayan dan Turtle Hatchery.

"Pelbagai pakej pelancongan menarik dapat diwujudkan bersama TRZK Kemaman seperti aktiviti menyusuri sungai, melihat kunang-kunang, berkelah di Air Terjun Menderu dan melihat anak penyu di Pantai Teluk Mak Nik.

"Bagi memperkasakan lagi promosi pakej pelancongan daerah Kemaman terutamanya TRZK, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bakal berkolaborasi bersama Tourism Pahang dan Tourism Kelantan dalam masa terdekat dengan memasukkan TRZK ke dalam Pakej Pelancongan Tiga Negeri di Pantai Timur bagi memastikan zoo ini menjadi destinasi pelancongan pilihan," katanya.

TRZK yang beroperasi pada 11 April 2009 menempatkan 88 spesies haiwan termasuk harimau, orang utan, gajah, buaya tembaga dan pelbagai jenis burung serta pelbagai herba anggerek, tumbuhan tropika, bonsai serta habitat semulajadi kunang-kunang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:02 PM