X
FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MAJIKAN didenda RM14,000 manakala dua lagi masing-masing didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan membenarkan warga asing tanpa permit berada di premis mereka.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tiga tertuduh, Wan Mohd Faisal Wan Rezali, 37, Mohd Shafari Ngah, 39, dan Lukman [email protected], 38, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Mahkamah turut mengarahkan Wan Mohd Faisal dipenjara selama tiga bulan manakala Mohd Shafari dan Lukman pula masing-masing dipenjara selama dua bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Wan Mohd Faisal didakwa membenarkan dua imigran haram iaitu lelaki Indonesia berusia 46 tahun dan lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun untuk masuk atau tinggal di dalam premisnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah tapak pembinaan di kawasan perindustrian Gong Badak Tambahan, Kuala Nerus jam 4.40 petang pada 5 Februari lalu.

Mohd Shafari dan Lukman pula masing-masing didakwa membenarkan seorang imigran haram iaitu lelaki warga Kemboja berusia 40 tahun dan lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun untuk masuk atau tinggal di dalam premis mereka.

Mohd Shafari didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah tapak projek membuat tiang elektrik di Jalan Abdul Jalil, Dungun, jam 12.10 tengah hari pada 26 Februari lalu manakala Lukman pula melakukan kesalahan itu di sebuah tapak pembinaan mendirikan satu unit rumah kediaman di Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 5 petang pada 30 Januari lalu.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Nooriah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap imigran haram yang berada di premis mereka.

Pendakwaan ketiga-tiga pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:16 PM