GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nur Izzati Mohamad


EMPAT daripada tujuh kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang baru-baru ini disahkan negatif.

Berikutan itu, negeri ini kekal dengan tiga kes positif JE iaitu dua dari lokaliti Sungai Bakap di kawasan daerah Seberang Perai Selatan dan satu dari Balik Pulau di daerah Barat Daya.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Asmayani Khalib, berkata bagi ketiga-tiga kes positif itu pihaknya masih mengadakan pemantauan terhadap pesakit samaada masih mempunyai gejala JE pada diri mereka.

"Gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan anggota badan.

"Bagi individu yang mengalami tanda-tanda ini perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, JE boleh menyebabkan pesakit berasa keliru dan celaru bahkan berisiko berdepan dengan penyakit sawan yang mana kerap berlaku terhadap kanak-kanak.

Dalam pada itu, Dr Asmayani berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan, inisiatif dan titik peluh masyarakat yang menyumbang kepada langkah-langkah membendung penyakit JE daripada menular.

"Ini termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan yang bertungkus lumus membantu JKNPP dalam memberi maklumat terkini kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam menjaga kesihatan dan kebersihan.

"JKNPP berharap langkah membendung penyakit JE merangkumi aktiviti sekitar halaman rumah sendiri seperti memastikan sistem perparitan mengalir sempurna, mengelakkan air bertakung, menggunakan racun semburan serangga aerosol dan ubat sapu mengelak nyamuk dapat diteruskan,"katanya.

Menurutnya, bagi penternak khinzir pula dinasihatkan supaya memastikan kawasan ternakan mereka bersih serta mematuhi amalan penternakan baik dan dapat memodenisasikan cara penternakan kepada sistem baru yang bersih sekali gus mengelak daripada pembiakan nyamuk Culex.

"JKNPP juga giat melaksanakan pelbagai aktiviti untuk membendung JE termasuk mengesan kawasan kes aktif dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:29 PM