Muhaamad Hafis Nawawi


"SEBAIK saya memberitahu anak bongsu, Chomel sudah ditemui terus dia memberitahu doanya sebanyak 200 kali kepada Allah sudah dimakbulkan," kata peguam, Herdawaty Abu Othman, 45.

Herdawaty sebelum ini kehilangan kucing betina baka Parsi yang dilarikan penjenayah di pekarangan rumah di Bandar Baru Bangi, semalam.

Menurutnya, dia menerima mesej menerusi Facebook Messenger petang tadi dari seorang yang bertanyakan sama ada kucing yang ditemuinya itu adalah Chomel.

"Sebaik melihatnya, saya terus mengiyakan dan membuat temu janji mengambil Chomel.

"Chomel ditemui kira-kira dua kilometer dari kediaman kami di kawasan tangga sebuah apartmen oleh individu terbabit yang kebetulan mencari kucingnya yang hilang," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, mujur keadaan Chomel terjaga baik dan lebih bersyukur apabila diselamatkan oleh pencinta kucing.

"Anak bongsu saya paling gembira di atas penemuan itu dan memberitahu sejak Chomel hilang dia tidak berhenti berdoa dan bersyukur dimakbulkan Allah.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang melaporkan kisah kehilangan kucing ini dan orang ramai yang membantu sebaik saya memuat naik di Facebook sehingga tular," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang ibu merayu supaya kucing peliharaannya dikembalikan selepas dilarikan penjenayah di pekarangan rumahnya kira-kira jam 12 tengah malam.

Kehilangan kucing kesayangan itu menyebabkan anak bongsunya tidak selera makan dan asyik menangis.

Berita berkaitan

Penjenayah selamba larikan Chomel

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:28 PM