Muhaamad Hafis Nawawi


"SAYA berdoa anak saya dapat ditemui esok," kata warga Indonesia, Adi Supalan, 41, bapa kepada remaja berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong, Kajang, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia bekerja di Seremban, Negeri Sembilan sebelum menerima panggilan memaklumkan anaknya, Rico Budi Saputra terjatuh ketika bermain di kawasan terbabit.

"Saya bergegas pulang dan hanya sempat melihat sekejap saja bomba mencarinya sebelum ditangguhkan dan disambung esok.

"Saya pun tidak pasti kejadian sebenar, cuma dia memang kadang-kadang bermain di situ bersama rakannya dan apa yang saya dimaklumkan ketika itu arus deras dan dia terjatuh," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro hari ini melaporkan remaja dikhuatiri lemas sementara rakannya berusia 12 tahun terselamat selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.

Berita berkaitan

Remaja terjatuh longkang dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:51 PM