TUN Hairuddin (kanan) menyampaikan sumbangan peribadi kepada Muhammad Nur Aqil sambil diperhatikan Halue (kiri). FOTO Mohd Khidir Zakaria.
TUN Hairuddin (kanan) menyampaikan sumbangan peribadi kepada Muhammad Nur Aqil sambil diperhatikan Halue (kiri). FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


KISAH tiga beradik yang tinggal bersendirian kerana ibunya terpaksa bekerja dan tinggal berjauhan mendapat perhatian banyak pihak termasuk orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar turut melawat tiga beradik itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, selepas mengetahui kisah tiga beradik ini, beliau terus berjumpa pihak sekolah untuk mendapat maklumat lebih jelas.

"Pihak sekolah dan guru besar sudah sedia maklum mengenai masalah keluarga ini dan sentiasa menjenguk dan menghantar makanan kepada mereka.

"Saya difahamkan ibunya, Zuraidah Ishak, 31, sudah berhenti kerja di Kuala Lumpur dan akan kembali secepat," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Nur Aqil Affendi, 12, di rumahnya di Kampung Teluk Kemang, Port Dickson.

Turut hadir pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Shukur Affendi Mohamad dan guru besar SK Teluk Kemang, Halue Mat Tahir.

Harian Metro, semalam melaporkan Muhammad Nur Aqil, menjaga adiknya, Muhammad Haiqal Zafren, 10, dan Nur Alya Zaara, 7, di rumah mereka kerana ibu mereka yang juga ibu tunggal, terpaksa meninggalkan mereka untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Tun Hairuddin berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga ini terutama mendapatkan pekerjaan bersesuaian untuk Zuraidah berhampiran kediaman mereka.

"Saya berterima kasih kepada NGO, PERKASIH N9 dan Pas kawasan Port Dickson yang sudah membantu kanak-kanak ini dan menyalurkan maklumat kepada kami untuk memberi bantuan lanjutan.

"Saya akan cuba bertanyakan beberapa pengusaha hotel berhampiran rumahnya jika memerlukan pekerja bagi membolehkan dia (Zuraidah) tinggal bersama anak-anaknya di rumah, pada masa sama boleh bekerja dengan tenang.

"Pihak JKM juga akan cuba membantu dan akan berjumpa ibunya untuk maklumat lanjut dan saya difahamkan mereka akan menghubungi Baitulmal mencari penyelesaian untuk membantu bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya akan membuat lawatan susulan esok bagi menyampaikan sumbangan.

"Terharu juga apabila mereka tiga beradik ini sabar menunggu ibunya untuk merealisasikan impian memiliki sebuah televisyen.

"Insya Allah, esok kami menghantar sebuah televisyen supaya mereka tidak bosan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Jaga adik baik-baik
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 10:41 AM