KEADAAN Toyota Vellfire yang terjatuh ke tebing.  FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN Toyota Vellfire yang terjatuh ke tebing. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu nasib dialami seorang lelaki yang hanya cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terjunam ke tebing sedalam 10 meter di Taman Bukit Seputih, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.45 pagi.

"Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dapati Toyota Vellfire dipandu mangsa berusia 20-an terjunam ke tebing sedalam 10 meter.

"Mangsa berjaya dikeluarkan dari tempat duduk pemandu dan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, lelaki cedera di bahagian kaki akibat tersepit selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, hari ini.

LELAKI yang tersepit diselamatkan pihak bomba dan orang ramai. FOTO Ihsan Bomba.
LELAKI yang tersepit diselamatkan pihak bomba dan orang ramai. FOTO Ihsan Bomba.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.36 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dari BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat kemalangan membabitkan dua motosikal.

"Seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an tersepit pada motosikal di bahagian kaki sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut. Seorang lagi penunggang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 1:48 PM