GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


BARISAN Nasional (BN) akan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan kelak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun pihaknya belum mempunyai calon yang akan menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia, Rabu lalu.

"Oleh kerana kemenangan dan Adun dahulu adalah (daripada) Umno yang mewakili BN, maka adalah menjadi kewajipan kepada Umno untuk mempertahankan kerusi DUN Slim.

"(Bagaimanapun) kita belum meneliti mana-mana calon kerana Badan Perhubungan Umno negeri belum mengemukakan nama pada saya selaku Pengerusi BN.

"Kita akan mengambil kira pandangan daripada Umno dan BN Tanjung Malim terutamanya untuk cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) di Slim," katanya selepas Perjumpaan Khas Bersama Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Empat Peringkat dan Ketua Umno Cawangan Empat Peringkat di Dewan Utama Kompleks Umno Bagan Datuk, hari ini.

Menurutnya, dia juga mempunyai pegangan yang keutamaan harus diberikan kepada calon tempatan untuk kerusi DUN Slim.

"Kita menunggu tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (dan selepas itu) kita akan memulakan gerak kerja secara rasmi.

"(Bagaimanapun) kita sudah mula menyusun jentera di peringkat PDM dan DUN Slim, namun saya tidak fikir kita akan mengumumkan sebarang tindakan (dalam masa terdekat) kerana kita menghormati keluarga arwah," katanya.

Semalam media melaporkan, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting PRK DUN Slim.

Penentuan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar jangka kerusi N. 58 Slim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 7:20 PM