GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


DICUCUH dengan colok yang masih terbakar pada kaki serta dirotan. Itu nasib malang menimpa seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang didera oleh bapa kandungnya pada 4 Julai lalu.

Remaja berusia 16 tahun itu didakwa sudah menjadi mangsa dera bapanya yang juga pemandu e-hailing dengan dipukul menggunakan rotan sejak mangsa berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.18 petang kelmarin.

"Mangsa mendakwa dicederakan oleh bapanya berusia 36 tahun menggunakan rotan dan dicucuh dengan colok kerana dia keluar rumah pada 2 Julai lalu.

"Ia kerana suspek mengesyaki mangsa mencari ibunya memandangkan mereka sudah berpisah sejak 2009," katanya dalam kenyataan di Kajang hari ini.

Mohd Zaid berkata, nenek mangsa yang tinggal bersamanya dan suspek membawa remaja itu ke pusat perubatan untuk menerima rawatan.

"Pada hari laporan dibuat, mangsa keluar dari rumah dan berjumpa dengan rakannya untuk mengadu dirinya dicederakan oleh suspek.

"Rakan mangsa kemudian membawa mangsa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, pihaknya menahan bapa kandung mangsa.

"Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:22 PM